ads ads ads ads ads ads ads

Monday, April 21, 2014

Yawakotti


Yawakotti atau Yawakota atau Jawa Koti adalah satu perkataan yang membawa maksud Titik Jawa. Ianya merupakan nama bagi satu lokasi yang dikatakan pernah menjadi pusat pemerintahan kepada Kerajaan Majapahit pada sekitar tahun 1432 sehingga tahun 1502 masehi.




(kredit to susurgalur )  Kerajaan Majapahit merupakan sebuah kerajaan yang berpengkalan di Kepulauan Jawa, Indonesia, yang berkembang pesat selepas tersungkurnya Kerajaan Melayu Srivijaya. Bermula dengan pemerintahan Raden Wijaya pada tahun 1293, Kerajaan Majapahit mengecap zaman kegemilangannya dibawah pemerintahan Hayam Wuruk pada tahun 1350 sehingga tahun 1389 masehi sehinggalah kerajaan tersebut tersungkur pada sekitar tahun 1527 akibat daripada rempuhan Kerajaan Islam Demak yang sedang meluaskan jajahan pada waktu itu.

Selepas sahaja daripada kemangkatan Hayam Wuruk, baginda telah digantikan oleh menantu beliau yang bernama Wikramawardhana. Empayar Majapahit seterusnya diwarisi oleh anak perempuan Wikramawardhana yang bernama Suhita yang memerintah empayar tersebut daripada tahun 1426 sehingga 1447.

Ratu Suhita telah mengahwini seorang individu yang diberi gelaran Bhre Parameshwara Sang Aji Jaya Ningrat atau nama sebenarnya, Raja Kemas Jiwa yang pada waktu itu telah dilantik sebagai Bentara Majapahit. Menurut beberapa pendapat, Raja Kemas Jiwa merupakan putera kepada Maharaja Chermin yang memerintah Empayar Chermin yang wujud pada sekitar kurun 13 masehi.

Empayar Chermin atau Kerajaan Chermin Jeddah bermula apabila pewaris empayar Malayur, Raja Sangtawal Sakrantaka, memindahkan pusat pemerintahannya daripada Ligor ke Kelantan selepas serangan Siam yang menyebabkan tertawannya Singgora pada tahun 1295.

Putera baginda yang bernama Raja Bharubhasa telah mengambil alih tampuk pemerintahan dan seterusnya telah ditabalkan sebagai penguasa Langkasuka pada tahun 1339. Dibawah pemerintahannya, Raja Bharubhasa telah berjaya menyatukan seluruh Segenting Kra dibawah taklukan Langkasuka yang turut disertai dengan penyatuan  Champa di Vietnam, Gangga Negara di Perak, dan kerajaan Samudera-Pasai di Sumatera. Empayar baru ini diberi nama Chermin. Baginda turut berjaya menakluk Kedah daripada Maha Prita Daria atau lebih dikenali sebagai Raja Bersiong.

Kemaraan tentera Siam telah menyebabkan Raja Bharubhasa terpaksa memindahkan pusat pemerintahannya ke kawasan baru yang bernama Bukit Panau, Kelantan. Kawasan baru ini dinamakan sebagai Jeddah. Kerajaan Chermin akhirnya berjaya menumpaskan kemaraan tentera Siam dengan bantuan Majapahit.

Penyataan ini juga turut dinyatakan oleh  tabujawi. Penerangan yang agak sama namun tidak details.

Empayar Chermin telah wujud kira-kira seiring dengan tenggelamnya nama Empayar Langkasuka, iaitu sebuah empayar yang wujud serta keluasan takluknya tidak terakam dengan tepat di dalam buku-buku sejarah di zaman berteknologi tinggi kini. Boleh dikatakan bahawa Empayar Chermin ini adalah warisan atau kesinambungan daripada kerajaan Empayar Langkasuka, begitu juga para raja-raja yang memerintah Empayar Chermin ini adalah keturunan Raja-Raja Sriwijaya.”

Sehubungan dengan itu, Majapahit seterusnya telah mengisytiharkan Jeddah sebagai ibukota Majapahit Barat (di Tanah Melayu) dengan kepulauan Jawa dikenali sebagai Majapahit Timur. Para sarjana berpendapat bahawa peristiwa ini merupakan satu sejarah yang telah berulang dimana pada awal kurun 7 masehi, Empayar Melayu Srivijaya dikatakan turut berpecah kepada dua, dimana satu bahagian berada di Sumatera dan satu lagi di Tanah Melayu.

Berbalik semula kepada Raja Kemas Jiwa. Setelah runtuhnya Empayar Chermin, Raja Kemas Jiwa telah dipanggil pulang daripada tanah jawa untuk meneruskan kelansungan pemerintahan Maharaja Chermin dan seterusnya memakai gelaran Sultan Iskandar Shah dan menamakan pemerintahannya sebagai Majapahit 2 yang berpusat di Kota Mahligai, Kelantan.
Ada sesetengah pendapat mengatakan selepas Raja Kemas Jiwa dipanggil balik ke Kelantan, beliau terpaksa melepaskan isterinya iaitu Ratu Suhita namun menamakan kerajaan barunya sempena dengan kerajaan tadbiran isterinya, Majapahit.

Terdapat percanggahan pendapat yang amat menarik apabila terdapat pendapat-pendapat yang mengatakan bahawa sewaktu pemerintahannya. Raja Kemas Jiwa telah melantik seorang yang bernama Ali Nurul Alam bin Syed Hussein Jamadil Kubra sebagai Perdana Menteri baginda.

Apa yang menariknya adalah apabila terdapat pendapat yang mengatakan bahawa Ali Nurul Alam ini lah yang dikenali sebagai Patih Aria Gajah Mada yang dikenali ramai sebagai Perdana Menteri kerajaan Majapahit yang paling terkenal. Ali Nurul Alam ini dikatakan berasal daripada Patani dan dikenali sebagai Sultan Qunbul. Dikatakan bahawa cucu cicit Ali Nurul Alam ini lah yang menjadi moyang kepada Dinasti Kesultanan Kelantan Moden hari ini melalui Long Bahar. Sejauh mana kebenaranya, itu tidak dapat dipastikan.

Menyebut tentang Ali Nurul Alam bin Syed Hussein Jamadil Kubra, tidak boleh tidak untuk saya sentuh tentang ayahandanya, iaitu Syed Hussein Jamadil Kubra. Ada pendapat yang mengatakan bahawa Syed Hussein dan adiknya Syeik Thana’uddin tiba di Kelantan sewaktu Empayar Chermin sedang berkembang pesat. Syeikh Thana’uddin turut dikenali sebagai Adi Putera (guru kepada Hang Tuah dan saudara-saudaranya).

Mereka berdua menetap di Bukit Panau dimana Syed Hussein dikatakan telah mengahwin puteri Maharaja Chermin yang bernama Puteri Linang Cahaya, iaitu adik kepada Che Siti Wan Kembang dan dikurnakan 2 orang anak bernama Malik Ibrahim dan Siti Aishah. Maulana Malik Ibrahim ini seterusnya dikenali sebagai Sunan Gresik, pelopor kepada Wali Sembilan (Wali Songo). Ali Nurul Alam lahir daripada isteri ketiga Maulana Syed Hussein yang bernama Puteri Selindong Bulan.

Berbalik kepada Yawakotti, mungkin terdapatnya migrasi dari Kelantan ke Jawa atau dari Jawa ke Kelantan sewaktu kewujudan empayar Majapahit 2 maka tidak hairanlah kenapa Kelantan boleh dikenali sebagai titik jawa sekiranya kita melihat kepada persamaan budaya diantara Kelantan dan Jawa. Kebanyakan permainan rakyat di Jawa turut dimainkan di  Kelantan. Ambil sahaja contoh wayang kulit dan pemakaian batik.

Berkenaan dengan Empayar Chermin pula, ada sumber-sumber yang mengatakan bahawa peninggalan kota Empayar tersebut masih lagi wujud pada hari ini namun ianya berada didasar sebuah tasik di Danau Tok Uban, Kelantan yang kebetulannya memang berhampiran dengan Bukit Panau.






Baca dengan lebih lanjut mengenai Chermin disini

No comments:

Post a Comment