ads ads ads ads ads ads ads

Tuesday, April 22, 2014

PANGLIMA AWANG

Salam semua, entry hari ini ditujukan khas kepad Ayah Yus seorng pegamal perubatan al-ternatif yang begitu minat kepada Panglima Awang. Penkongsian kali ini adalah hasil garapan Nasron Sira Rahim dan kredit semua kepada blog hulubalanghjawi

Pejuang Melayu buktikan bumi bulat selepas terbabit dalam pelayaran bersama Ferdinand de Magellan dari Barat ke Timur

“MASYARAKAT kita terlalu mengagungkan Barat; kita memandang hebat pelayar asing seperti Vasco de Gama, Christopher Columbus dan Ferdinand de Magellan sehingga melupakan sejarah siapa Panglima Awang.”


“Kita lupa Panglima Awang adalah manusia pertama mengelilingi dunia. Beliau adalah bangsa pertama membuktikan Bumi adalah bulat, bukannya Barat,” kata penulis yang juga pakar motivasi, Dr HM Tuah Iskandar mengenai peristiwa besar bangsa Melayu itu yang kini mulai hilang dari lembaran sejarah negara ini.

Suasana hening di pejabatnya di Bandar Manjalara, Kuala Lumpur seolah-olah menggambarkan kesayuan yang terdetik di jiwanya tatkala mengenangkan sejarah Panglima Awang. Ada nada kesal dalam intonasi suaranya ketika menceritakan mengenai pahlawan Melayu itu. Walaupun Panglima Awang pernah menobatkan martabat bangsa di persada dunia, anak-anak kecil hari ini sudah tidak mengenali jasa mahupun siapa lelaki itu.


Jasa Panglima Awang bukan kecil. Lelaki Melayu itu membuktikan tanggapan bahawa bumi leper adalah salah. Beliau sebaliknya membuktikan bumi itu bulat dan menghubungkan Timur dengan Barat. “Sejarah besar itu bermula ketika Portugis berjaya menakluk Melaka pada 1511,” sambung Dr Tuah seterusnya memulakan kisah seorang pahlawan Melayu digelar Panglima Awang atau Enrique dalam menyumbang sesuatu kepada peradaban dunia, sebuah sejarah yang jarang diketahui ramai termasuk bangsa Melayu sendiri.

Tewas dalam usahanya menentang Portugis yang cuba menjajah tanah airnya iaitu Melaka, anak muda digelar Panglima Awang dan ratusan lelaki Melaka akhirnya ditawan dan disumbat ke dalam kapal besar milik bangsa Barat itu. Rakan-rakan lain ramai yang terkorban ketika membela tanah watan, betapa gagah dan meluapnya semangat mengusir penjajah, akhirnya Panglima Awang dan rakan-rakannya tewas dengan kelengkapan senjata senapang dan meriam Portugis.

Dalam kesayuan mengenangkan hilangnya tanah air tercinta akibat dijajah, pemuda Melaka dirantai tangan dan kaki mereka serta dikurung di dalam kapal besar itu. Bagaimanapun Panglima Awang diasingkan kurungannya daripada pemuda Melaka lain. Kehebatan dan keperkasaannya menyebabkan Wizurai Portugis, Alfonso de Albuquerque menetapkan bahawa Panglima Awang adalah tawanan peribadinya sekali gus hamba kepada dirinya seorang.

Selepas beberapa lama, sauh diangkat dan kapal itu mula belayar membelah lautan meninggalkan bumi Melaka menuju ke benua asing bersama tawanan dan hasil rampasan perang. Kapal itu singgah di Goa dan sebahagian tawanan dijual sebagai hamba di hentian itu. Seterusnya pelayaran diteruskan menuju Lisbon, ibu negara Portugal.

Pelayaran jauh yang memakan masa lama akhirnya merapatkan hubungan antara kapten kapal, Ferdinand de Maggellan dengan Panglima Awang. Betapa lelaki Portugis itu amat tertarik dengan perwatakan pemuda Melaka itu sehingga Panglima Awang diberi keistimewaan dengan dilepaskan dari kurungan manakala rantai di kaki dan tangannya dibuka. Panglima Awang diarah menjadi kuli di atas kapal sepanjang pelayaran dengan syarat pemuda itu tidak memberontak. 


Mangellan

Ketika itu jugalah Ferdinand menukarkan nama Melayu Panglima Awang kepada ‘Enrique’, bagi mengelakkan wujudnya diskriminasi kaum dan agama antara masyarakat Portugis dan kelasi kapal lain dengan pemuda Melaka itu. Setiba di Lisbon, Ferdinand memastikan Panglima Awang terus bersamanya. Persahabatan yang semakin erat menyebabkan kapten itu mengutuskan surat kepada Alfonso memohon lelaki Melayu itu ‘dijual’ kepadanya.

Keizinan diperoleh dan bermulalah hidup Panglima Awang di tanah asing yang jauh berbeza budaya dan bentuk muka bumi berbanding Melaka. Panglima Awang ditugaskan mengusahakan ladang epal di belakang rumah lelaki Portugis itu.  Peribadi mulia dan kegigihan ditunjukkan Panglima Awang semakin membuahkan kepercayaan dan rasa hormat di hati Ferdinand malah turut menarik hati adik lelaki asing itu iaitu Miriam. Hari yang terus berlalu mengeratkan hubungan hati antara dua bangsa itu malah Ferdinand turut merestui hubungan cinta berkenaan.

Sejarah mengelilingi dunia bermula apabila Ferdinand melarikan diri ke Sepanyol bersama Panglima Awang angkara fitnah pihak tertentu yang memusuhinya. Kehebatan, kemahiran dan pengalaman luas selaku pelayar menyebabkan Raja Portugal menghargai Ferdinand tetapi ia turut membenihkan hasad dengki di kalangan musuh yang akhirnya memfitnah kapten kapal itu. Bagaimanapun, pelarian Ferdinand dan Panglima Awang ke Sepanyol diterima baik ketua negara itu, Raja Charles I, lantaran reputasi Ferdinand selaku pelayar hebat Portugal sememangnya dikenali dan dikagumi orang Sepanyol.

Di Sepanyol, kemahiran dan pengalaman luas Ferdinand selaku pelayar dimanfaatkan apabila Raja Charles I mengarahkan lelaki Portugis itu belayar mencari tanah dan harta kepada Kerajaan Sepanyol. Beberapa tahun diperuntukkan untuk membuat persediaan sehingga beberapa kapal berjaya dibina untuk ekspedisi itu dengan kapal terbesar dinamakan ‘Victoria’.

Cadangan pelayaran Sepanyol itu akhirnya sampai ke pengetahuan pemimpin tertinggi Kristian seluruh dunia ketika itu iaitu Pope di Rom. Pope mensyaratkan jika Sepanyol ingin belayar, mereka tidak boleh lagi menghala ke Timur kerana ia sudah diperuntukkan kepada Portugis. Sebaliknya Sepanyol perlu belayar ke Barat. Tindakan itu menimbulkan kekhuatiran di kalangan ramai kelasi kerana pelayaran ke Barat masih belum banyak diterokai. Akibatnya, tanpa kelasi, Ferdinand terpaksa mengambil banduan sebagai anak kapal dengan tawaran kebebasan dan kemewahan jika mereka mengikuti pelayaran itu. Selain Panglima Awang, seorang lagi orang kanan Ferdinand adalah Sebastian del Cano dan pencatat pelayaran, Pigafetta.



Pada 1519, kapal besar itu berangkat meninggalkan pelabuhan Seville menuju ke horizon Barat. Pelayaran itu amat sukar berikutan anak kapal tidak berpengalaman malah ada jatuh sakit dan mati. Ramai memberontak dan meminta berpatah balik. Bagaimanapun penentangan dan konflik yang tidak kunjung padam sepanjang pelayaran sedikit terlerai apabila pelayaran menemui daratan di Barat, kapal itu sudah menjejaki benua baru di Amerika Selatan, setahun kemudian. Pelayaran itu turut menemui Selat Magallaes yang dinamakan sempena nama Ferdinand.

Tidak puas dengan penemuan dunia baru itu, Ferdinand ingin meneruskan pelayaran ke Barat sehingga konflik kembali tercetus di kalangan kelasi. Tanggapan bahawa bumi adalah leper menyebabkan mereka khuatir pelayaran terus ke Barat menyebabkan mereka terjatuh ke bawah dunia. Walaupun menerima tentangan, Ferdinand meneruskan perjalanan dengan sokongan Panglima Awang. Pelayaran yang memasuki Lautan Pasifik kali itu semakin mencetuskan pelbagai masalah. Beberapa kapal hilang malah krisis bekalan makanan yang meruncing menyebabkan kelasi terpaksa memburu tikus dan lipas sebagai makanan.

Penderitaan di kelilingi lautan akhirnya berakhir apabila pada pertengahan 1521, tilikan Panglima Awang menerusi teropong terlihat sesuatu seperti pohon kelapa dari kejauhan. Berita itu disampaikan dan disambut gembira anak kapal bahawa penderitaan mereka berakhir. Mereka tiba di Pulau Mazzava, Cebu, Filipina. Berlabuh di situ, Panglima Awang merasakan telahannya yang pelayaran berterusan mereka ke Barat sudah menemui dunia Timur adalah benar apabila mendapati pertuturan penduduk pulau itu menyamai Bahasa Melayu. Jauh di sudut hati, dirasakan negeri tanah tumpah darahnya iaitu Melaka semakin hampir.

Kepastian Panglima Awang dan Ferdinand mengenai bumi adalah bulat dan pelayaran mereka ke Barat sudah tembus ke Timur disampaikan kepada anak buah dan disambut gembira. Bagaimanapun satu kesilapan dilakukan. Kegembiraan kelasi menyebabkan mereka melepaskan bedilan meriam kononnya sebagai keraian tetapi tindakan itu menyebabkan pemerintah Cebu, Raja Hamabun menyangka kehadiran kapal asing itu adalah untuk berperang dan mereka memulakan serangan.

Dalam pertempuran itu, Ferdinand dan ramai anak kapal terbunuh malah kapal Sepanyol itu dihancurkan sehingga tinggal sebuah kapal saja iaitu Victoria yang sempat meloloskan diri. Berikutan Panglima Awang berbangsa asing, Sabastian dipilih selaku kapten tetapi dia tidak memiliki semangat dan pengalaman luas menyebabkan tugas mengemudi pelayaran dilakukan mengikut arahan Panglima Awang. Pandangan Panglima Awang bahawa mereka sudah hampir dengan Melaka ternyata benar apabila melintasi tanah Semenanjung. Tetapi disebabkan khuatir diserang Portugis yang menguasai Melaka lantaran Sepanyol adalah seteru Portugal, kapal itu tidak singgah di tanah kelahiran Panglima Awang.



Tambahan pula mereka sudah ‘melanggar’ perintah Pope dengan memasuki kawasan pelayaran orang Portugis menyebabkan mereka menukarkan bendera Sepanyol kepada bendera Portugis sebagai penyamaran dan meneruskan perjalanan pulang ke Sepanyol. Pelayaran diteruskan dan berakhir apabila mereka tiba kembali di Sepanyol. Di hadapan Raja Charles I, mereka menghadap mempersembahkan cerita besar pelayaran mereka ke Barat sehingga pulang dari arah Timur.

Bagaimanapun raja itu kecewa kerana bukan bukti besar itu yang dimahukannya, raja itu kepingin harta dan tanah jajahan baru menerusi pelayaran itu. Memandangkan Panglima Awang berbangsa asing, pengiktirafan sejarah itu diberikan kepada Ferdinand walaupun Panglima Awang adalah orang yang bertanggungjawab menyelesaikan ekspedisi mengelilingi bumi buat julung kalinya selepas Ferdinand gagal dan mati di Cebu.

Pengiktirafan itu turut menenggelamkan nama ‘Melayu’ selaku bangsa pertama yang mengelilingi bumi seterusnya jasa Panglima Awang turut tidak diketahui ramai termasuk bangsa Melayu.

“Mengikut catatan novel sejarah Harun Aminurrashid, Panglima Awang akhirnya kembali semula ke Melaka selepas bertahun berada di tanah asing,” kata Dr Tuah menamatkan kisah perjalanan wira Melayu yang tidak didendang itu.

Kompas Panglima Awang


FAKTA Panglima Awang



Asal usul Panglima Awang sebelum ditawan Portugis masih kekal misteri malah nama sebenarnya dalam Melayu masih tidak diketahui. ‘Panglima Awang’ hanyalah gelaran diberikan Harun Aminurrasid dalam catatannya mengenai sejarah lelaki itu. Selain ‘Panglima Awang’, tokoh pahlawan Melayu itu turut dikenali sebagai ‘Enrique’, ‘Henry The Black’, ‘Henrich’, ‘Ariberto’, ‘Espinosa’ dan pelbagai lagi mengikut sebutan sesuatu bangsa.

Walaupun nama Panglima Awang tidak tercatat dalam manuskrip sejarah Melayu, namanya tercatat dalam catatan sejarah pelbagai bangsa asing. Antaranya catatan Itali menyebutnya sebagai ‘seorang lelaki dari Melaka’ selain catatan Figafetta mengenai pelayaran itu sekali gus membuktikan kewujudan tokoh itu. Bagaimanapun ada juga ahli Barat yang cuba menutup sejarah kejayaan bangsa Melayu dengan menafikan kewujudan Panglima Awang.




PROFIL

Nama sebenar: Tidak diketahui
Gelaran: Panglima Awang, Enrique, Henry The Black, Henrich, Ariberto, Espinosa.
Asal: Melaka (lahir sekitar zaman kejatuhan Melaka)
Bangsa: Melayu
Sumbangan: Manusia pertama mengelilingi dunia dan membuktikan Bumi adalah bulat.



Pautan lain mengenai Enrique namun pengakhiran yang sedikit berbeda baca disini

Kenyataan Daripada History Channel mengenai Enrique- Baca sini



HANG TUAH BUKAN CINA

Salam, dan bersua lagi... The patriot ada berkongsi satu soal jawab mengenai adakah Hang Tuah itu Cina?, dan aku kongsikan soal jawab itu didalam blog kepada para pembaca raw-zone agar dapat dijadikan input berguna kelak he. Semua kredit adalah milik The Patriot :

Sekadar Hiasan

Sebut sahaja mengenai Hang Tuah, ramai puak Chauvinist dan Kiasu akan mula berdendang bahawa pahlawan Melayu ini merupakan bangsa cina. Mereka mempunyai hujah mereka untuk mengatakan bahawa Hang Tuah adalah daripada bangsa cina. Justeru artikel ini akan berbentuk Q&A, di mana setiap soalan akan direka berdasarkan hujah-hujah mereka

Soalan: Hang bukan nama biasa yang digunakan oleh orang Melayu. Hanya Hang Tuah lima bersaudara dalam sejarah yang bernama Hang. Nama bangsa Melayu tidak mempunyai nama keluarga. Kalau nama ayah akan dibinkan. Jadi tak logic kalau Hang Tuah, dan terdapat orang lain yang turut berkongsi nama Hang.
Jadi, nama Hang yang sebenarnya ialah Hang Too Ah. Nama Hnag Jebat ialah Hang Jew Fat. Nama Hang Lekir ialah Hang Liew Kier. Nama Lekiu ialah Hang Lee Kiew. Jadi, Hang itu ialah nama keluarga cina.
Jawapan: Hei, saya tahu anda yang cuna menulis sejarah Melayu ni tentu tak pernah bergaul dengan orang Melayu? Pandai-pandai jer buat kesimpulan macam tu. Pernah berkawan dengan orang Melayu tak? Kalau tak, meh sini saya ajar anda apa itu budaya Melayu.
Di sesetengah negeri terdapat orang Melayu yang berkongsi nama depan yang sama. Di Kelantan, nama seperti Nik dan Wan selalu digunakan. Nama seperti Daeng pula terkenal di kalangan masyarakat Melayu Bugis. Nama seperti Radeng ialah nama yang selalu digunakan oleh masyarakat jawa. Meor pula nama yang terkenal di kalangan masyarakat Melayu Perak. Masyakat Melayu-Arab pula terkenal dengan nama Syed dan Syarifah di hadapan pangkal nama mereka.
Dan sekali lagi saya tekankan, jangan bercakap mengenai soal Melayu kalau anda tidak pernah bergaul dengan kami. Terdapat banyak lagi Melayu di zaman Melaka yang turut menggunakan nama pangkal Hang. Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Nadim, Hang Hasan, dan Hang Hussin? Untuk pengetahuan saudar ajuga, nama Hang ini juga merupakan gelaran yang diberikan oleh Istana Melaka pada waktu itu, seperti mana istilah Dato’ pada hari ini.

Soalan: Tiada rekod mengenai kewujudan Hang Tuah dalam sejarah Melayu sebelum kedatangan Hang Li Po. Jadi jelaslah bahawa Hang Tuah itu di bawa oleh Hang Li Po.
Jawapan: Benarkah sedemikian? Pernah baca Sulalatus Salatin dengan Hikayat Hang Tuah? Pernah dengar kisah Hang Tuah menyelamatkan Bendahara daripada orang mengamuk? Pernah dengar kisah Hang Tuah dan para sahabatnya membunuh lanun? Buka balik buku sejarah.
Kalau dirujuk sumber sejarah utama, iaitu Hikayat Hang Tuah yang banyak menceritakan mengenai Hang Tuah, Kisah bagaimana Hang Tuah dan para sahabatnya. Ketika kanak-kanak dahulu, Hang Tuah dan para sahabat telah ke laut menggunakan perahu lading. Berlaku adegan kejar mengejar antara Hang Tuah dan lanun yang mengejar perahu Hang Tuah. Sampai sahaja di darat, maka Hang Tuah telah bertikam dengan sang lanun dan pertempuran itu telah membuatkan Hang Tuah menang.
Antara bukti lain ialah kisah Hang Tuah menewaskan orang mengamuk masih terkemas dalam rekod sejarah. Kisah bagaimana Hang Tuah menyelamatkan Bendahara Tun Perak dan bagaimana Hang Tuah menghadap Sultan Melaka. Kisah Hang Tuah menewaskan lanun-lanun ketika mengembara pada usia muda dan kecil selepas mendapat perkenan juga merupakan bukti bahawa Hang Tuah sudah wujud lama sebelum kedatangan Hang Li Po.

Soalan: Tapi… ada orang cakap yang nama Tuah, Jebat, Kasturi, Lekiu, dan Lekir itu dicinakan. Tiada makna dalam bahasa Melayu. Betul ke?
Jawapan: Nama tuah bermaksud bernasib baik. Masakan ada yang bodoh percaya bahawa nama Tuah itu dimelayukan daripada Too Ah? Nama Jebat dalam bahasa Melayu bermaksud bau badan. Pernah dengar tak ungkapan “baunya seperti jebat musang”. Masakan ada yang mengatakan bahawa nama Jebat itu daripada Jee Fat? Kasturi pula ialah nama haruman. Semua orang tahu tu. Lekir pula datang daripada nama ubi. Lekiu pula datang daripada bahasa Melayu lama yang bermaksud lekit.

Soalan: Tapi macam mana Puteri Hang Li Po boleh ada nama Hang?
Jawapan: Senang sahaja jawapan saya. Hang ialah gelaran yang diberikan oleh Sultan Melaka. Pada asalnya nama Hang Li Po ialah nama puteri itu. Hang ialah gelaran yang diberikan oleh Sultan Mansur Shah.

Soalan: Ya, Hang Tuah bukan cina. Tapi, apa bukti Hang Tuah itu wujud?
Jawapan: Nama Hang Tuah disebut dalam naskah yang menjadi sumber utama Sejarah Melayu iaitu Sulalatus Salatin. Sebanyak 7 Bab diletakkan di dalam kitab sejarah Melayu ini. Kalau Hang Tuah ialah lagenda, kenapa sampai 7 Bab diperuntukkan untuk menceritakan mengenai Hang Tuah?
Juga Hikayat Hang Tuah turut menjadi sumber utama. Bagaimana kalian menolak Hikayat Hang Tuah walhal UNESCO sendiri mengiktiraf naskah sejarah ini sampai menjadikan salah satu daripada Warisan Dunia pada hari ini.
Jika anda menolak kewujudan Hang Tuah, sama juga seperti anda menolak kewujudan Melaka kerana sumber yang menceritakan mengenai Hang Tuah ialah Sulalaltus Salatin. Kalaulah watak Hang Tuah itu tidak wujud, masakan teks sejarah Melayu utama menyebut nama Hang Tuah lebih 170 kali.
Seterusnya, pernah dengar kisah Keris Taming Sari? Keris ini ialah keris yang dirampas oleh Hang Tuah ketika bertikam dengan pendekar daripada Majapahit. Katakanlah Hang Tuah tak wujud, masakan keris ini boleh berada dan menjadi salah satu daripada warisan Keslutanan Perak? Oh ya, Kesultanan Perak ialah salah satu daripada waris Kesultanan Melaka dulu.

Kalau nak Menurut Biar Berakal, kalau Mengikut Biar Pintar

 -HE-


Monday, April 21, 2014

Syair Siti Zubaidah & Perang di China

Syair Siti Zubaidah & Perang di China

Siti Zubaidah tinggal di Pulau Peringgi bersama bapanya, Pendeta Ulama. Pendeta Ulama dahulunya seorang raja tetapi menyedari kuasa dunia tidak bererti, menyerahkan takhta anaknya bagi beramal. Pendeta Ulama memberikan anak perempuannya pendidikan keugamaan yang baik.

Sultan Zainal Abidin, Sultan Kembayat Negara, kemudiannya berkahwin dengan Siti Zubaidah. Kembayat Negara merupakan sebuah negara yang besar dengan pelbagai dagang dari segala pelusuk rantau berkunjung kesitu.

Pada suatu hari, Kembayat Negara diserang oleh China, sebagai balasan penghinaan kepada salah seorang pedagang mereka. Serangan ini lebih kejam dengan penawanan Sultan Kembayat Negara oleh puteri China sebgai tahanan dan dibawa ke China.

Menyedari keadaan ini, Siti Zubaidah menyiapkan dirinya bagi menyelamatkan suaminya. Siti Zubaidah tinggal dilindungi oleh bapanya. Semasa kecil dia belajar Al-Quran dan pekara lain sebagaimana gadis lain. Tetapi apabila dicabar dengan kehilangan suaminya, dia memasuki dunia lelaki dan bersetia untuk berperang. Dalam perjalanannya, dia melahirkan anaknya seorang diri di dalam hutan dan meninggalkan anaknya yang kemudiannya diselamatkan dan dipelihara oleh Muhamad Tahir.

Dia menyamar sebagai askar dan menyertai perang melawan China. Dia berhadapan dengan banyak cubaan dalan usaha membebaskan suaminya. Keberanian dan cintanya yang mendalam bagi suaminya memberikannya kekuatan bagi memenangi peperangan. Dia akhirnya mendedahkan diri sebenar kepada Sultan Zainal Abidin dan kembali ke Kembayat Negara untuk bersatu dengan anak mereka.

(sumber:Wikipedia)

Entry kali ini dimulakan dengan penerangan mengenai Syair Siti Zubaidah yang tersohor. Rawzones sekali lagi suka untuk menarik perhatian para pembaca kepada siapakah Siti Zubaidah. dalam penceritaan wujud fakta sebagai pegangan dan bukalah minda untuk pembacaan seterusnya.



Diatas dinyatakan mengenai kerajaan Kembayat Negara, Kembayat Negara sebenarnya merujuk kepada Champa. Yang mana kerajaan champa ini telah berhadapan dengan serangan dan migrasi besar-besaran secara berterusan selama ratusan tahun daripada satu kaum yang berasal dari selatan Negara China iaitu Dai-Viet. Kehilangan Champa sama seperti kehilangan Patani yang mewarisi keagungan Langkasuka. Kali terakhir Champa berjaya bangkit membela nasib sendiri adalah semasa di bawah pemerintahan Raja teragung mereka iaitu Che Bo Nga, yang dinyatakan dalam lagenda Cham sebagai Binasuar, manakala Sejarah Dinasti Ming mencatatkan namanya sebagai Ngo-Ta-Ngo-Tcho, memerintah mulai sekitar tahun 1360 Masihi. Malangnya, kebangkitan Che Bo Nga ibarat seperti ‘sinar matahari yang penghabisan sebelum terbenam’. Di bawah pimpinan baginda, Champa kembali bangkit dari tahun 1361 hingga 1390 Masihi dengan melancarkan beberapa serangan balas kepada pihak Dai-Viet dan memenanginya. Malangnya, baginda akhirnya mangkat pada bulan Februari 1390 Masihi akibat pengkhianatan daripada salah seorang pengawalnya sendiri yang menyebabkan perahu baginda dikepung oleh tentera Vietnam. Apa yang menarik, kebanyakan pengkaji sejarah bersepakat bahawa Sultan Zainal Abidin, tokoh yang dinyatakan di dalam  hikayat Melayu lama ,Syair Siti Zubaidah diatas merujuk kepada Che Bo Nga itu sendiri, sedangkan kebanyakan pengkaji sejarah Barat bersetuju Raja-raja Champa hanya mula memeluk Islam bermula pada abad ke-17 iaitu berdasarkan catatan seorang paderi bernama M. Mahot yang bertugas di Champa pada tahun 1676 hingga 1678 Masihi dan mengatakan bahawa Raja dan sebahagian besar penduduk Negara Champa telah menerima agama Islam yang disebarkan oleh orang Melayu yang telah ramai berhijrah dan menetap di sana. Laporan Mahot ini telah disahkan oleh seorang paderi lain bernama M. Freet apabila dia menyaksikan sendiri keIslaman Raja Champa dan telah dihadiahkan sebuah Al-Quran.

Ada catatan yang lain mencadangkan  di waktu Zaman Khalifah Umaiyah Sultan Zainal Abidin dari kerabat di Raja Parsi yang belayar ke negeri China diatas urusan perdagangan dan hubungan dua hala kedua negara. Baginda pada masa itu sudah pun berkahwin dengan Puteri Zubaidah. Sewaktu mengadap Maharaja China baginda telah terpikat dengan Puteri Raja China bernama Puteri Pa Pua lalu mereka pun dikahwinkan oleh Maharaja China ketika itu. Sultan Zainal Abidin bersama puteri barunya pun berhijrah kesebuah Pulau Maka yang mana hari ini di gelar Pulau Pa Pua (bawa laki) New Guinea. Mereka pun membuka sebuah kerajaan baru dan hasil perkahwinan tersebut mereka mendapat seorang putera di beri nama Putera Al Bani. Kealpaan Sultan Zainal Abidin ini kepada isteri pertamanya membawa kepada kisah Siti Zubaidah yang menyamar sebagai lelaki untuk mencari suaminya. Kisah ini ada direkodkan dalam syair dan lagu Siti Zubaidah dalam sejarah kesusasteraan Melayu Nusantara.

Setelah dewasa putera mereka berdua yang bernama Putera Al Bani pun mengadap datuknya Maharaja China dan baginda pula telah dikahwinkan juga dengan salah seorang Puteri Raja China. Maharaja dahulu sememangnya mempunyai ramai anak perempuan kerana berkahwin ramai. Setelah berkahwin mereka pun berhijrah untuk membuka sebuah negara baru. Pelayaran ini membawa mereka ke sebuah kawasan baru lalu dibina Istana Ayut’ia Al Bani terletak di Australia hari ini. Sekiranya kita teliti, perkataan Australia bukannya bahasa Inggeris malah adalah dari bahasa Siam bermaksud, penempatan lebih luas. Hari ini, Albani di Australia terletak ke Utara Bandar Perth. Perth juga adalah merupakan bahasa Siam. Keturunan Sultan Australia Al Bani membawa kepada Raja Chulan Man Bau.

Sekitar tahun 1350-1400 masihi Raja Chu Lan Man Bau (@ Osman Putera disanjungi cucu-cucu) mempunyai dua orang Putera dan seorang Puteri iaitu,

1-Putera Sulong Saidina Ali menjadi Raja di Al Bani Australia.
2-Putera Kedua Saidina Cheng Ho atau San Bao,
3-Puteri Naga adinda kepada Cheng Ho berkahwin dengan Sultan Rijaluddin Mohammad Johan    Syah yang bergelar Rama Tibodi II (Ayuthia) dan Parameswara (di Melaka)

Saja dijauhkan perjalanan cerita hingga ke anak Sultan Zainal Abidin, kerana disitu ada dua nama yang begitu agung didalam sejarah dunia. Namun kisah mereka kali ini hanya disitu shaja. Perlu diingat catatan yang pertama tadi adalah berdasarkan riwayat tradisi Kelantan manakala catatan kedua pula adalah bersumberkan daripada manuskrip dari Siam. Wujud pemasalah disini adalah time frame yang tidak sejajar daripada kedua2 catatan tersebut. Namun amatlah tidak adil jika rawzones hanya merujuk kepada dua catatan ini sahaja  namun yang ingin diceritakan disini ialah berdasarkan riwayat tradisi Kelantan tadi identity Siti Zubaidah ditemui.


Tersebutlah kisah Cik siti wan Kembang (Raden Galuh Gemerenchang). Raja Kelantan Selatan (1318 – 1348), iaitu anakanda Raja Sakranta, Maharaja Jawaka (1253 – 1267). Mempunyai seorang anak angkat iaitu Puteri Saadong namun dia ialah Putri Sa’adung II (Siti Zubaidah), atau nama asalnya  Devi Nareswari. Puteri Sa’adung II (Siti Zubaidah)  ini merupakan anak saudara Cik Siti Wan Kembang iaitu anakanda Raja Bharubhasa, iaitu Sultan Mahmud Jiddah Riayath Sa’adat us-Salam, yang menjadi  Raja Chermin. Baginda menjadi Raja Langkasuka selepas kemangkatan nenda baginda pada tahun 1335. Pada tahun 1345 baginda dilantik menjadi Raja  Kelantan. (kekeliruan berlaku kerana wujud banyak nama Cik Siti Wan kembang dan Puteri saadung) bagi keterangan pada kali ini rawzones merujuk kepada info ini.

Puteri Sa’adung II ini dikatakan sebagai siti zubaidah yang berkahwin dengan  Paduka Sri Sultan Zainal Abidin Shah, Raja Champa yang sangat terkenal dengan kisah “SYAIR SITI ZUBAIDAH”. 
Namun kebenaraan kenyataan ini masih boleh diragui kerana ia berdasarkan satu sumber dan bepandukan pada tulisan Christopher Buyers mengenai salahsilah ini. Sama-sama kita fikirkan, andai wujud perbedaan pandangan lontarkan dan bincangkn bersama. Andai ada khilaf dalam penulisan mahupun kesilapan fakta perbetulkan dengan susunan kata yang berilmu dan tidak menurut amarah diri. Muga kita fikirkan dan senantiasa mencari kebenaran dalam kesamaran.


References:

Yawakotti


Yawakotti atau Yawakota atau Jawa Koti adalah satu perkataan yang membawa maksud Titik Jawa. Ianya merupakan nama bagi satu lokasi yang dikatakan pernah menjadi pusat pemerintahan kepada Kerajaan Majapahit pada sekitar tahun 1432 sehingga tahun 1502 masehi.




(kredit to susurgalur )  Kerajaan Majapahit merupakan sebuah kerajaan yang berpengkalan di Kepulauan Jawa, Indonesia, yang berkembang pesat selepas tersungkurnya Kerajaan Melayu Srivijaya. Bermula dengan pemerintahan Raden Wijaya pada tahun 1293, Kerajaan Majapahit mengecap zaman kegemilangannya dibawah pemerintahan Hayam Wuruk pada tahun 1350 sehingga tahun 1389 masehi sehinggalah kerajaan tersebut tersungkur pada sekitar tahun 1527 akibat daripada rempuhan Kerajaan Islam Demak yang sedang meluaskan jajahan pada waktu itu.

Selepas sahaja daripada kemangkatan Hayam Wuruk, baginda telah digantikan oleh menantu beliau yang bernama Wikramawardhana. Empayar Majapahit seterusnya diwarisi oleh anak perempuan Wikramawardhana yang bernama Suhita yang memerintah empayar tersebut daripada tahun 1426 sehingga 1447.

Ratu Suhita telah mengahwini seorang individu yang diberi gelaran Bhre Parameshwara Sang Aji Jaya Ningrat atau nama sebenarnya, Raja Kemas Jiwa yang pada waktu itu telah dilantik sebagai Bentara Majapahit. Menurut beberapa pendapat, Raja Kemas Jiwa merupakan putera kepada Maharaja Chermin yang memerintah Empayar Chermin yang wujud pada sekitar kurun 13 masehi.

Empayar Chermin atau Kerajaan Chermin Jeddah bermula apabila pewaris empayar Malayur, Raja Sangtawal Sakrantaka, memindahkan pusat pemerintahannya daripada Ligor ke Kelantan selepas serangan Siam yang menyebabkan tertawannya Singgora pada tahun 1295.

Putera baginda yang bernama Raja Bharubhasa telah mengambil alih tampuk pemerintahan dan seterusnya telah ditabalkan sebagai penguasa Langkasuka pada tahun 1339. Dibawah pemerintahannya, Raja Bharubhasa telah berjaya menyatukan seluruh Segenting Kra dibawah taklukan Langkasuka yang turut disertai dengan penyatuan  Champa di Vietnam, Gangga Negara di Perak, dan kerajaan Samudera-Pasai di Sumatera. Empayar baru ini diberi nama Chermin. Baginda turut berjaya menakluk Kedah daripada Maha Prita Daria atau lebih dikenali sebagai Raja Bersiong.

Kemaraan tentera Siam telah menyebabkan Raja Bharubhasa terpaksa memindahkan pusat pemerintahannya ke kawasan baru yang bernama Bukit Panau, Kelantan. Kawasan baru ini dinamakan sebagai Jeddah. Kerajaan Chermin akhirnya berjaya menumpaskan kemaraan tentera Siam dengan bantuan Majapahit.

Penyataan ini juga turut dinyatakan oleh  tabujawi. Penerangan yang agak sama namun tidak details.

Empayar Chermin telah wujud kira-kira seiring dengan tenggelamnya nama Empayar Langkasuka, iaitu sebuah empayar yang wujud serta keluasan takluknya tidak terakam dengan tepat di dalam buku-buku sejarah di zaman berteknologi tinggi kini. Boleh dikatakan bahawa Empayar Chermin ini adalah warisan atau kesinambungan daripada kerajaan Empayar Langkasuka, begitu juga para raja-raja yang memerintah Empayar Chermin ini adalah keturunan Raja-Raja Sriwijaya.”

Sehubungan dengan itu, Majapahit seterusnya telah mengisytiharkan Jeddah sebagai ibukota Majapahit Barat (di Tanah Melayu) dengan kepulauan Jawa dikenali sebagai Majapahit Timur. Para sarjana berpendapat bahawa peristiwa ini merupakan satu sejarah yang telah berulang dimana pada awal kurun 7 masehi, Empayar Melayu Srivijaya dikatakan turut berpecah kepada dua, dimana satu bahagian berada di Sumatera dan satu lagi di Tanah Melayu.

Berbalik semula kepada Raja Kemas Jiwa. Setelah runtuhnya Empayar Chermin, Raja Kemas Jiwa telah dipanggil pulang daripada tanah jawa untuk meneruskan kelansungan pemerintahan Maharaja Chermin dan seterusnya memakai gelaran Sultan Iskandar Shah dan menamakan pemerintahannya sebagai Majapahit 2 yang berpusat di Kota Mahligai, Kelantan.
Ada sesetengah pendapat mengatakan selepas Raja Kemas Jiwa dipanggil balik ke Kelantan, beliau terpaksa melepaskan isterinya iaitu Ratu Suhita namun menamakan kerajaan barunya sempena dengan kerajaan tadbiran isterinya, Majapahit.

Terdapat percanggahan pendapat yang amat menarik apabila terdapat pendapat-pendapat yang mengatakan bahawa sewaktu pemerintahannya. Raja Kemas Jiwa telah melantik seorang yang bernama Ali Nurul Alam bin Syed Hussein Jamadil Kubra sebagai Perdana Menteri baginda.

Apa yang menariknya adalah apabila terdapat pendapat yang mengatakan bahawa Ali Nurul Alam ini lah yang dikenali sebagai Patih Aria Gajah Mada yang dikenali ramai sebagai Perdana Menteri kerajaan Majapahit yang paling terkenal. Ali Nurul Alam ini dikatakan berasal daripada Patani dan dikenali sebagai Sultan Qunbul. Dikatakan bahawa cucu cicit Ali Nurul Alam ini lah yang menjadi moyang kepada Dinasti Kesultanan Kelantan Moden hari ini melalui Long Bahar. Sejauh mana kebenaranya, itu tidak dapat dipastikan.

Menyebut tentang Ali Nurul Alam bin Syed Hussein Jamadil Kubra, tidak boleh tidak untuk saya sentuh tentang ayahandanya, iaitu Syed Hussein Jamadil Kubra. Ada pendapat yang mengatakan bahawa Syed Hussein dan adiknya Syeik Thana’uddin tiba di Kelantan sewaktu Empayar Chermin sedang berkembang pesat. Syeikh Thana’uddin turut dikenali sebagai Adi Putera (guru kepada Hang Tuah dan saudara-saudaranya).

Mereka berdua menetap di Bukit Panau dimana Syed Hussein dikatakan telah mengahwin puteri Maharaja Chermin yang bernama Puteri Linang Cahaya, iaitu adik kepada Che Siti Wan Kembang dan dikurnakan 2 orang anak bernama Malik Ibrahim dan Siti Aishah. Maulana Malik Ibrahim ini seterusnya dikenali sebagai Sunan Gresik, pelopor kepada Wali Sembilan (Wali Songo). Ali Nurul Alam lahir daripada isteri ketiga Maulana Syed Hussein yang bernama Puteri Selindong Bulan.

Berbalik kepada Yawakotti, mungkin terdapatnya migrasi dari Kelantan ke Jawa atau dari Jawa ke Kelantan sewaktu kewujudan empayar Majapahit 2 maka tidak hairanlah kenapa Kelantan boleh dikenali sebagai titik jawa sekiranya kita melihat kepada persamaan budaya diantara Kelantan dan Jawa. Kebanyakan permainan rakyat di Jawa turut dimainkan di  Kelantan. Ambil sahaja contoh wayang kulit dan pemakaian batik.

Berkenaan dengan Empayar Chermin pula, ada sumber-sumber yang mengatakan bahawa peninggalan kota Empayar tersebut masih lagi wujud pada hari ini namun ianya berada didasar sebuah tasik di Danau Tok Uban, Kelantan yang kebetulannya memang berhampiran dengan Bukit Panau.






Baca dengan lebih lanjut mengenai Chermin disini

Saturday, April 19, 2014

Pulau Nangka




Heboh mengenai Pulau Nangka, perbualan dikafe tempat ku mencari rezeki rancak membincangkan dan pelbagai teori dikeluarkan laksana…umpama pemburu harta karun yang professional semuanya. Terseyum diriku sambil teringat kan kisah emas yamashita dan kisah Hang Nadim. Kali ini dikongsikan pendapat dan sedikit teori2 yang mana berkaitan dengan pulau Nangka. Penulis tidaklah mempunyai ilmu yg mendalam dalam pencarian harta Qorun mahupon sejarah Pulau Nangka ini sendiri namun Pulau Besar laenlh pula ceritanya he.


Pulau Nangka terletak kira-kira 4 km dari pulau utama negeri iaitu Pulau Besar, destinasi tarikan pelancong yang popular. Pulau yang berbatu itu berukuran kira-kira 20 hektar, mempunyai pantai berpasir begitu luas dan memanjang dengan air jernih yang mengelilinginya. Terumbu karang berdekatan pulau tersebut turut menarik perhatian menarik para penyelam.

Yang menjadikan Pulau Nangka ini istimewa kerana  Pulau Nangka telah digazetkan menjadi milik Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) pada tahun 1997 lagi. Namun yang secara tiba-tiba isu Pulau Nangka menjadi bualan ramai ialah kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, menurut laporan akhbar Mstar pada 14 April 2014, kerajaan negeri Melaka telah memberikan permit kepada dua syarikat tempatan untuk menjalankan kerja-kerja penggalian di bawah syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh Perbadanan Muzium Melaka (Perzim). Kerja-kerja pengalian dilakukan untuk mencari dan membawa keluar Harta Karun peningalan Kerajaan Melaka. Pekerja-pekerja yang terlibat dalam projek itu setakat ini menggali beberapa lubang berdiameter 130mm untuk ke dalam gua itu dengan menggunakan peralatan berteknologi tinggi.



Gua atau sebenarnya bilik-bilik batuan yang sememangnya dibina untuk ditempatkan sesuatu. bilik batuan yang seakan-akan “Bunker” ini dijumpai oleh para penyelidik, ikuti ulasan daripada Pengarah Urusan Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, Mohammad Foad Khushairy Mohd. Said, Dakwaan adanya harta karun bernilai berbilion ringgit di Pulau Nangka, disahkan dengan bukti bergambar yang diperoleh. Gambar-gambar tersebut merupakan artifak lama dipercayai digunakan pada zaman Kesultanan Islam Melayu Melaka. Menurut, Mohammad Foad lagi, pihaknya mengadakan penyelidikan di pulau berkenaan kali pertama pada Julai 2012 dan menemui tiga tanda besar termasuk ukiran batu berbentuk bulan sabit.

Katanya, batu berkenaan diperbuat daripada batu kuarza yang dilekapkan pada batu laut dipercayai berusia lebih setengah abad di zaman Kesultanan Islam Melayu Melaka. “Selain itu, terdapat ukiran batu peta Pulau Nangka sendiri yang menunjukkan simbol bermaksud adanya pinggan mangkuk lama tersimpan di situ. “Semua itu boleh jelas kelihatan semasa air laut benar-benar surut,” Jelas Mohammad Foad, syarikatnya dipertanggungjawabkan untuk mencari bukti bergambar serta menjalankan kajian di Pulau Nangka selama tiga bulan dan akan berakhir sehingga penghujung April ini.

“Mengikut kajian geoteknikal yang dijalankan, memang wujud bahan artifak lama dan selama hampir tiga bulan ini, kami bukan menemui gua seperti didakwa tetapi merupakan bilik-bilik yang dibina oleh orang terdahulu di zaman Kesultanan Islam Melayu Melaka.

“Saya tidak dapat pastikan berapa banyak barangan yang terdapat di dalamnya namun menerusi kajian geoteknikal serta imbasan imej bumi, mendapati memang wujud artifak berkenaan. “Cuma sekarang ini halangannya struktur batuan yang amat keras dan perlu dipecahkan terlebih dahulu,” katanya. Menurut beliau, binaan bilik-bilik berkenaan sama seperti struktur binaan Kota Melaka dan kemudiannya dikenali dengan nama Kota A Farmosa yang dibina oleh orang Melayu Melaka sendiri sebenarnya. “Bilik-bilik berkenaan dibina mempunyai banyak fungsi, antaranya bilik mesyuarat dan pelbagai bilik lain. Lebih kurang 20 tahun lepas ketika struktur pintu utama masih elok, kita boleh masuk tapi sekarang pintu tersebut sudah runtuh jadi kita kena buat pintu baru, itu sebabnya tidak boleh masuk. (Sumber:Sinar)
  


Teori yang paling hebat diperkatakan mengenai harta karun yang ditanam di Pulau Nangka itu bahawa ia mungkin merupakan sebahagian daripada kekayaan yang disimpan oleh sultan terakhir Kesultanan Melayu Melaka, Sultan Mahmud. Sultan Mahmud dikatakan membawa lari bersamanya sebahagian besar jongkong emas agar tidak dirampas oleh Portugis yang dalam usaha menakluki Melaka pada tahun 1511.

Menurut pakar sejarah Portugis pada abad ke-16, Fernao Lopes de Castanheda berhubung penaklukan tersebut, tentera yang menawan bandar itu tidak dapat mencari kekayaan Sultan itu. Apa yang mereka cari adalah emas dalam bentuk jongkong, sutera, lakuer dan porselin. Beliau menulis: "Mereka begitu marah apabila mengetahui bahawa Raja (Sultan) telah membawa segala khazanah, dan mereka membalas dendam dengan membakar kediaman Raja (istana Sultan Melaka). Gabenor (Alfonso d' Albuquerque) memohon maaf di atas perbuatan yang melampaui itu, perbuatan ini terdorong kerana khazanah yang mereka cari sudah tiada lagi di istana. Gabenor (Alfonso d' Albuquerque) kemudiannya memberi perintah agar memadamkan api tetapi sudah terlambat keranan istana itu sudah hangus terbakar."

Manuskrip-Manuskrip sejarah mengatakan Sultan Mahmud cuba menawan semula Melaka beberapa kali tetapi tidak berjaya , usaha Tuanku ingin menawan kembali salah satunya mungkin kerana kekayaan yang masih ditinggalkan Baginda di Melaka. 

Astro Awani pada 15 April 2014 berkongsi laporan berita mengenai usaha cari gali artifak yang dikaitkan dengan harta karun dari Kesultanan Melayu Melaka. 


Menurut Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep), Prof Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin semasa Portugis menawan Melaka pada 1511, harta-harta Sultan Melaka ketika itu dipercayai disembunyikan di pulau-pulau kerana bimbang istana mereka ditawan. Pada asalnya harta dan hasil cukai itu disimpan dalam perbendaharaan iaitu satu rumah khas menyimpan harta benda seperti pinggan mangkuk, cerek yang diperbuat dari emas.

Mohd Jamil juga percaya harta berkenaan bukan saja tersimpan di Pulau Nangka, malah di Pulau Besar dan Bukit St Paul yang dipercayai mencecah trilion ringgit. Malah, rujukan buku Shipwrecks & Sunken Treasure In Southeast Asia turut merekodkan sebanyak 34 daripada 450 kapal karam di perairan Selat Melaka. Sementara itu, katanya, dakwaan wujudnya harta karun di Pulau Nangka sebenarnya sudah tersebar sejak 1997.

Namun tidak semua para pengkaji bersetuju dengan teori khazanah Kesultanan Melayu Melaka di Pulau Nangka, antara yang menolak ialah Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia. Sinar harian melaporkan, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia tidak menolak kemungkinan wujud harta karun di Pulau Nangka. Jika wujud harta karun tersebut, ia boleh jadi milik lanun-lanun Eropah yang singgah di perairan Melaka.

Ditanya, adakah mungkin harta dikatakan milik Sultan Mahmud Shah itu ditinggalkan oleh pengiringnya sewaktu Baginda melarikan diri daripada serangan Portugis pada tahun 1511, Omar berkata, perkara itu tidak pernah dinyatakan. "Tidak ada cerita hikayat Melayu mengenai perkara sedemikian. Menerusi cerita-cerita lama ini, setiap pengiring Sultan adalah terdiri daripada mereka yang setia.

"Mengikut sejarah, semasa Sultan Mahmud Shah melarikan diri ke Bentan, baginda diiringi hampir 300 pengiring yang membawa harta seperti alat-alat kerajaan (keris dan takhta) dan juga emas. Kesemua mereka ini sangat setia kepada Sultan dan tidak akan mengkhianati dengan mencuri dan menyembunyikan harta tersebut," katanya. Jelasnya, semasa melarikan diri itu, Sultan dan pengikutnya hanya melalui jalan darat untuk mengelakkan diri daripada ditangkap Portugis. "Jalan laut tidak selamat buat mereka. Jika mereka melalui jalan laut, akan mudah dikepong tentera Portugis berbanding jalan darat yang lebih kepada perkampungan," katanya 

Mengikut cerita daripada beberapa ahli penyelidik, pada beberapa tahun yang lepas mereka pernah masuk ke dalam gua di Pulau Nangka dan menjumpai hampir 80 peti berisi Emas namun apa yang pelik ialah mereka keluar daripada gua tanpa emas tersebut dan dalam keadaan terpinga-pinga umpama tiada arah tuju. Penduduk kampung disekitar juga memberitahu, jika diteliti di bahagian dinding gua tersebut ada ukiran atau pun tulisan yang bagaikan Kod-Kod rahsia menjadi peta kepada dimana simpannya harta2 tersebut dan menurut mereka lagi usaha untuk mencari harta itu telah dilakukan pelbagai pihak sejak dari tahun 1970-an namun kesemuanya menemui kegagalan. Oleh itu sama-sama lah kita tunggu dan lihat apakah hasil daripada penyelidikan ini dan seingat pihak kami perbadanan muzium tiada kuasa atau hak untuk memberikan lesen kepada pihak NGO atau swasta untuk melakukan penyelidikan sedemikian rupa namun mungkin akta telah diperbaharui he, dan arapkan hasil pengalian ini akan didedahkan kepada umum tidak seperti kes terowong di palekbang Tumpat Kelantan yang akhirnya tiada tahu apa kesudahannya. sememangnya harta itu milik kerajaan namun sejarah dan kebenaran milik semua rakyat. 




Harta Pulau Nangka Dijaga- Baca disini 


Cedokan:
http://www.malaysiancoin.com/